Saturday, October 21, 2017

Bibi ka Maqbara dan Erti Cinta

Assalamualaikum buat teman-teman Syu..Semoga semuanya berada dalam lindungan Allah swt. Alhamdulillah, sekarang ni dah masuk bulan Oktober dan ini bermakna, Syu dah ada di Mumbai hampir 3 bulan. Masa berjalan dengan pantas. Masa mula-mula sampai di sini, terasa masa berlalu dengan lambat. huhu..sangat lambat..tapi bila dah semakin lama semakin cepat masa berlalu. Cuti pertengahan untuk semester ni pun dah nak habis. Untuk pengetahuan, baru-baru ni Syu dah mula cuti seminggu. Ada sebahagian dari kawan-kawan syu yang pulang ke Malaysia dan sebahagian lagi ambil keputusan untuk pergi jalan-jalan. 

Dari awal kami cuba rancang untuk ke tempat wajib lawat di India, tak lain tak bukan semestinya Taj Mahal. Tapi entah lah, susah nak cakap sebab Syu terasa banyak sangat halangan untuk kami pergi melawat Taj Mahal. Dalam kita merancang, Allah juga merancang dan sungguh, perancangan Allah lebih baik. Dalam perancangan saat-saat akhir, kami ambil keputusan untuk pergi melawat di sekitar Aurangabad. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Kami dapat berbincang dengan tour guide kami dan Ahad malam, kami mula gerak dari Palghar ke Aurangabad. Lebih kurang jam 10 malam, bas yang disediakan tour guide kami dah tiba di hadapan hospital. Perjalanan kami ambil masa selama 12 jam. 

Alhamdulillah..semua tempat yang kami lawati sangat buat Syu terkesan dan kembali bermuhasabah. Destinasi yang Syu nak share dengan teman-teman adalah mengenai Bibi ka Maqbara iaitu kembar Taj Mahal. Kisah yang Syu petik dari Muamar Salim

" Mengenang Aurangzeb dan Tanggung Jawab atas Cinta "

Jika Taj Mahal dibina Oleh Raja Shah Jehan sebagai tanda cintanya yang terakhir untuk isteri tercinta, ada perkara yang lebih menarik untuk kita hayati tentang sebuah makna cinta yang lebih agung yang dibawa 'watak' lain, kisah cinta yang tak sepopular seperti Taj Mahal, Raja Shah Jehan & isterinya yang mana sentiasa meniti di bibir manusia sepanjang zaman.

Aurangzeb adalah anak kepada Raja Shah Jehan yang juga memainkan peranan yang penting..Baginda memegang tahta Mughal selepas ayahnya meninggal namun ia tak menjadi sebutan orang di abad ini seperti ayahnya yang sangat terkenal dengan kisah romantis dengan ibunya.

Aurangzeb memimpin negara dengan apa sahaja yang baginda ada. Baginda tak banyak mengambil untung dari keuntungan negara. Sumber utamanya adalah menganyam topi yang baginda buat dan jual serta menyalin teks Al qur’an. Ketika pemerintahannya, ekonomi negara naik hingga mencapai ke 100 juta Rupee setahun yang menurut sejarah ianya adalah keuntungan negara terbesar di seluruh dunia pada ketika itu.

Aurangzeb tak banyak meninggalkan peninggalan yang megah untuk dikenang sebagaimana kebiasaan raja-raja sebelumnya. Bangunan termegah yang pernah dibuatnya adalah Masjid Badshahi di Lahore, yang selama 330 tahun menjadi masjid terbesar di dunia dan bangunan kedua yang baginda bina adalah Bibi ka Maqbara iaitu bangunan persemayaman untuk isterinya. Bangunan ini dibuat olehnya hanya untuk memenuhi permintaan anaknya, Azam Shah, untuk menandingi kemegahan Taj Mahal. Dah tentu Aurangzeb menolak, dan melarang para pekerja mengangkat batu-batu dalam pembinaannya. Tetapi oleh sebab anaknya merajuk, maka Aurangzeb hanya menggunakan dana sebesar 700 ribu rupee untuk pembangunannya.

Bangunan ini nampak hampir sama dengan Taj Mahal tetapi sangat berbeza dari segi binaan dan kemewahan. Dah tentu hanya ini yang terhasil dengan anggaran 700 ribu rupee nak dibandingkan dengan Taj Mahal yang memakan 32 juta rupee. Padahal keuntungan negara setiap tahun pada masa pemerintahan Aurangzeb sekitar 100 juta rupee. Tapi baginda sedar bahawa kekayaan negara itu bukan miliknya semata-mata. Bahkan makam raja yang soleh ini pun tak seperti makam raja-raja sebelumnya yang megah-megah. Makam Aurangzeb terletak beberapa kilometer dari Bibi Ka Maqbara makam isterinya, makamnya rata dengan tanah, dengan ditanda kayu, sangat sederhana untuk seorang raja.

“Aku datang seorang diri, dan pergi seperti orang asing. Aku tak tahu siapa diriku ini, dan apa yang telah aku lakukan,” katanya pada Azam Shah anaknya ketika hampir menjelang wafatnya. Tak ada kebanggaan baginya yang terlalu besar untuk baginda megahkan.

Kita belajar tentang makna cinta dari Aurangzeb. Bahawa cinta sejatinya adalah tanggungjawab. Sangat menjaga rakyatnya. Cintanya pada Tuhannya, membuatnya tak menjadi sombong sebagai seorang raja, maka ia menghadap pada Tuhannya dengan apa adanya, dengan makam yang rata dengan tanah dan sangat sederhana.

Kita sendiri menginginkan pemimpin yang amanah dengan tanggungjawabnya. Pemimpin yang tahu bahawa cinta bererti memberi..Mencintai rakyat, bererti 'bekerja' untuk kesejahteraan rakyatnya.


Nampak hampir sama dengan Taj Mahal kan ? Ni sudut hadapan Bibi ka Maqbara sebaik sahaja kita masuk gate kawasan ini.


Ketika baru tiba di Bibi ka Maqbara, Syu rasa sedikit teruja walaupun tak berkesempatan untuk ke Taj mahal, tapi lepas dapat tahu kisah di sebalik kembar Taj Mahal ni, Syu rasa kagum dan makin faham dengan kata 'cinta adalah memberi'


Bibi ka Maqbara ni direka oleh Ustaz Ata-ullah, anak kepada Ustaz Ahmed Lauhari iaitu ketua arkitek Taj Mahal


di hadapan Bibi Ka Maqbara


Ruang dalam kubah Bibi ka Maqbara


Dari pintu masuk Bibi ka Maqbara, kita akan terus jumpa ruang ni dan di bawah ni adalah makam isteri Aurangzeb, Rabia-ul Daurani


Makam isteri Aurangzeb


Bahagian belakang Bibi ka Maqbara


Cuba perhatikan belah kiri Bibi ka Maqbara, Bangunan kecil di tepinya adalah masjid


Geng yang tak dapat balik bercuti ke Malaysia. huhu. Tapi takpa, rezeki kami di tempat lain.

Sungguh terkesan Syu lepas pulang dari Bibi ka Maqbara. Sebuah monumen yang dibina oleh individu yang tidak terkenal tapi sebenarnya sangat hebat. Kagum syu dengan peribadinya. Sebab itu, syu terasa, hikmah kami tak dapat ke Taj Mahal, tapi kami ditakdirkan untuk melawat sebuah tempat dan mengenali pemimpin yang hebat.

Semoga Allah merahmati Aurangzeb dan Allah pimpin kita semua untuk kembali bermuhasabah. 

Wallahualam



Followers

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...