Monday, June 6, 2016

Bot Tersadai di atas rumah

Kejadian bot tersadai di atas rumah memang menakjubkan. Menurut seorang penduduk disitu, kejadian Bot tersadai di atas sebuah rumah adalah bukti pertolongan Allah kepada mereka yang berkenaan.

Rumah yang ditimpa Bot itu milik seorang suri rumah di mana suaminya ketika itu bekerja di Medan. Beliau sememangnya terkenal baik hati dan suka menolong orang kampung. Oleh kerana rumah beliau 2 tingkat, maka dia mempelawa orang-orang kampung untuk menyelamatkan diri dengan naik ke tingkat atas rumahnya.

Air Tsunami yang mengalir ketika itu sudah mencecah paras leher penduduk kampung di tingkat atas rumah, dan masing-masing sudah bermaaf-maafan kerana menyangka ajal mereka sudah semakin hampir. Ketika itu ada seorang lelaki yang berjaya memanjat siling rumah dan menanggalkan atap rumah dan membawa mereka yang di tingkat atas rumah naik ke bumbung rumah.

Tiba-tiba datang satu Bot menuju ke arah rumah mereka. Sangkaan mereka itu adalah Bot Penyelamat kerana ia bergerak menongkah arus dan bukannya mengikut arus. Sehinggalah bot berkenaan menimpa rumah tersebut dan tersadai di atas rumah. Ketika itu baru diketahui sebenarnya bot berkenaan bergerak sendiri dan tiada sesiapa pun yang memandu ke arah rumah itu.

Pertolongan Allah pula datang apabila tiba-tiba ada  setandan buah kelapa yang datang ke arah Bot berkenaan lalu diambil oleh salah seorang yang berada di atas rumah berkenaan. Dan di dalam bot berkenaan pula ada sebilah parang yang dapat diguna untuk membelah buah kelapa berkenaan. Air kelapa itu diminum dan isinya dapat dimakan oleh mereka yang berada di dalam bot atau rumah berkenaan bagi mengurangkan rasa lapar dan dahaga sementara menunggu bantuan datang.

Seramai 59 orang yang terselamat berada di dalam rumah dan bot yang berkenaan. Kini rumah berkenaan telah dibeli oleh pihak Kerajaan dan dijadikan salah satu Monumen Sejarah Tsunami.
Seramai 982 nama dicatat sebagai Korban Tsunami di kampung ini dan nama-nama mereka dipamerkan dalam rumah berkenaan.

" Silakan masuk ke dalam rumah ini untuk melihat gambar-gambar kejadian tsunami..tapi maaf, saya tak dapat nak mengikut masuk sekali, kerana saya masih terasa kejadian ini seakan-akan baru semalam terjadi.. " penduduk di situ masih trauma walau 12 tahun berlalu..


Bot yang tersadai di atas sebuah rumah


Kini, bot dan rumah tersebut dijadikan tempat pelancongan dan kerajaan ada membayar pampasan kepada pemiliknya.



~ Ibrah di Banda Aceh ~

No comments:

Followers

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...